PETALING JAYA – Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga wartawan veteran Fauziah Rauf yang meninggal dunia hari ini.
Katanya, pemergian mantan wartawan itu pasti dirasai seluruh warga media serta mereka yang pernah bekerjasama dengan Allahyarham.
“Semoga roh Allahyarhamah dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” katanya dalam hantaran Facebook.
Arwah yang meninggal dunia pada usia 81 tahun akibat pendarahan di kepala dirawat di Hospital Selayang sejak seminggu lalu selepas terjatuh di rumahnya.
Sumbangan Fauziah terhadap dunia kewartawanan sangat besar, malah beliau juga antara pengasas serta Presiden pertama Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) pada akhir 1990-an.
Sebagai mengiktiraf sumbangan besarnya, Allahyarhamah menerima Anugerah Tokoh Wartawan Berjasa sempena Anugerah Kewartawanan Industri Perfileman Malaysia, (AKIFMA) 2017 anjuran bersama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan WHAM.
Sementara itu, Presiden WHAM, Tengku Datuk Khalidah Tengku Bidin meluahkan rasa dukacita yang mendalam atas pemergian beliau.
“Allahyarhamah Fauziah adalah figura wartawan wanita yang disegani dan dihormati dalam dunia kewartawanan serta industri seni dan hiburan tanah air,” katanya.
Urusan mandi, kafan dan solat jenazah disempurnakan di Masjid Selayang Baru dan dijangka dikebumikan selepas solat Zohor. – KOSMO! ONLINE