KUALA LUMPUR – Perseorangan lelaki China, Li Shi Feng menebus kekecewaan tersingkir di pusingan suku akhir tahun lalu apabila berjaya merangkul gelaran Kejohanan Badminton Malaysia Masters 2025.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini, pemain No.4 dunia itu mudah membenam cabaran pemain India, K. Srikanth menerusi kemenangan straight set 21-11, 21-9 dalam tempoh 36 minit.
Kemenangan itu sekali gus menepati ramalan awal berdasarkan status Shi Feng sebagai pilihan kedua kejohanan manakala Srikanth melakar kejutan mara ke final selepas memulakan saingan di pusingan kelayakan.
“Saya tidak sangka menjadi pemain perseorangan lelaki China pertama menang di sini (Malaysia Masters). Kali ini saya dapat melepasi (halangan) dan memenangi gelaran selepas banyak kali tersekat di separuh akhir.
“Bagaimanapun, masih ada jurang yang cukup besar antara saya dan pemain-pemain ternama lain. Saya juga masih belum memenangi kejuaraan Super 1000 atau kejohanan utama lain seperti Kejohanan Dunia,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.
Bagi acara beregu lelaki, gandingan Man Wei Chong-Tee Kai Wun meraih gelaran pertama mereka di Malaysia selepas menewaskan rakan sepasukan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik 21-12, 15-21, 21-16 dalam tempoh 50 minit.
Jaguh China, Wang Zhi Yi pula berjaya mempertahankan gelaran perseorangan wanita yang dimenangi tahun lalu selepas membenam rakan sepasukan, Han Yue menerusi kemenangan tiga set 13-21, 21-13, 21-18.

Pasangan No.1 dunia dari China, Liu Sheng Shu-Tan Ning memastikan gelaran beregu wanita selepas menewaskan satu lagi gandingan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian 21-17, 21-18.
China meneruskan penguasaan dalam saingan Jelajah Dunia Super 500 itu apabila Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping merangkul gelaran acara beregu campuran menewaskan rakan sepasukan Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin 21-17, 14-21, 21-16.
Selaku juara, pemain-pemain yang memenangi acara perseorangan membawa pulang hadiah wang tunai AS$35,625 (RM150,729) berserta pingat manakala naib juara meraih AS$18,050 dan pingat (RM76,369).
Sementara itu, bagi acara beregu, juara menerima hadiah wang tunai AS$37,525 (RM158,768) dan juga pingat manakala naib juara membawa pulang AS$18,050 (RM76,369) dan pingat. – KOSMO! ONLINE