SUNGAI BULOH – Perbuatan kejam seorang lelaki yang disyaki menyembur cat pada seekor monyet membawa padah apabila dia ditahan, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada pegawai veterinar daerah Petaling kira-kira pukul 2.10 pagi.
Menurutnya, pegawai tersebut telah melihat satu klip video di Facebook memaparkan seorang lelaki menyembur cat pada seekor monyet yang berada dalam sangkar.
“Kejadian itu dipercayai berlaku di Taman Desa Moccid, U17, Shah Alam.
“Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh mengklasifikasi kes kepada rujuk lain agensi membabitkan Jabatan Veterinar serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya dalam kenyataan.
Mohd. Hafiz berkata, sehubungan itu, Perhilitan telah membuat laporan polis berkaitan tindakan menangkap individu terbabit di bawah Seksyen 86 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta 716).
“Orang ramai dinasihati supaya tidak menyeksa haiwan sesuka hati kerana ia merupakan satu kesalahan dan boleh diambil tindakan mengikut undang-undang.
“Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian boleh hadir ke balai polis berdekatan atau menghubungi Sarjan Mejar Azmir Azriezal Ramli di talian 019-5665870,” katanya.
Terdahulu, tular satu klip video di media sosial menunjukkan seorang lelaki menyembur cat aerosol berwarna biru ke atas seekor monyet sehingga mengundang kecaman ramai.- KOSMO! ONLINE