KAJANG – Seorang lelaki yang mempunyai 23 rekod jenayah termasuk dua wanita tumpas selepas berjaya dikejar polis di Taman Kajang Mewah, di sini semalam.
Dalam kejadian sekitar pukul 2.10 pagi itu, ketiga-tiga suspek yang menaiki sebuah kereta berjaya ditahan anggota unit peronda (MPV) setelah melanggar dua kenderaan lain.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, ketiga-tiga suspek yang ditahan berusia antara 28 hingga 30 tahun dan merupakan penganggur.
“Semakan rekod mendapati suspek lelaki mempunyai 23 rekod lampau membabitkan pelbagai jenis kes jenayah dan dadah.
“Pemeriksaan lanjut ke atas suspek turut menjumpai dadah jenis syabu seberat satu gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naaron berkata, kesemua suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kes disiasat dibawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Sesiapa yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi mana-mana balai berdekatan atau pegawai penyiasat kes, Inspektor Ahmad Zahrein Muhd. Suod di talian 017-3818422,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE