MILAN – Protes penyokong-penyokong terhadap pentadbiran tertinggi kelab membayangi cerita kemenangan penutup sempurna AC Milan yang menang 2-0 ke atas Monza dalam aksi terakhir Serie A di San Siro awal pagi tadi.
Selepas mengharungi musim yang agak mengecewakan sepanjang musim ini, penyokong Rossoneri bertindak melakukan bantahan sebelum dan semasa perlawanan berlangsung.
Peminat meluahkan kemarahan kepada Ketua Pegawai Eksekutif AC Milan, Giorgio Furlani; pengerusi kelab, Paolo Scaroni; penasihat pasukan, Zlatan Ibrahimovic dan pengarah teknikal, Geoffrey Moncada.
“Ada di kalangan peminat kami begitu kecewa, kesal dan marah, namun apa yang saya boleh katakan kami semua turut merasakan semua itu. Jangan fikir kami tidak pernah merasakan perkara sama selepas apa yang dilalui pasukan musim ini.
“Namun, musim ini sudah tamat dan minggu depan kami akan terus memulakan perancangan baharu untuk jadikan kelab lebih baik,” kata Furlani.
Penyokong Milan juga menggesa legenda kelab, Paolo Maldini yang dipecat daripada jawatan pengarah teknikal sebelum ini kembali diberikan tanggungjawab penting dalam pasukan.
Terdahulu, ribuan penyokong Milan berkumpul di luar ibu pejabat pasukan dan menuntut pemilik kelab, Gerry Cardinale melepaskan pegangan saham dan meninggalkan pasukan. – AGENSI