PEMILIK Kedah Darul Aman (KDA FC), Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar tidak menolak kemungkinan pasukan akan mencari platform alternatif selepas gagal meraih lesen kebangsaan untuk bertanding dalam kempen Liga Super musim depan.
Mohd Daud dalam satu kenyataan memohon maaf kepada peminat bola sepak Sang Kenari selepas pihak pengurusan tidak dapat selesaikan isu kewangan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Kegagalan ini berpunca daripada aspek pematuhan kewangan yang tidak dapat diselesaikan dalam tempoh yang telah ditetapkan.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf secara terbuka kepada seluruh penyokong, penaja, pemain dan kakitangan kelab yang terkesan dengan berita ini.
“Sebagai pemilik majoriti, saya mengambil tanggungjawab terhadap kekurangan yang berlaku dan menganggap perkara ini sebagai pengajaran penting untuk menilai semula struktur dan pendekatan keseluruhan kelab,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Daud mahu pastikan bola sepak negeri Kedah kekal relevan dengan pertimbangkan untuk sertai platform lain yang bersesuaian dengan hala tuju pemulihan dan pembangunan semula kelab.
“Kami percaya, jatuh bukan pengakhiran tetapi peluang untuk memperbaiki dan membina semula asas yang lebih kukuh.
“Kami menganggap tempoh ini sebagai fasa ‘hibernasi Sang Kenari’, satu masa untuk memperbaiki diri, memperkukuh asas, dan bersiap sedia untuk kembali dengan lebih baik dan tersusun. Penyokong akan terus menjadi nadi penting dalam perjalanan ini.
“Terima kasih kepada semua yang tetap berdiri bersama kami, walau dalam waktu paling sukar ini. Semoga satu hari nanti, kita akan kembali lebih stabil, lebih kuat,” katanya.
Sebagai rekod, KDA FC dan Perak FC merupakan dua kelab Liga Super yang gagal diberikan lesen kebangsaan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selepas mengalami konflik kewangan sepanjang musim lepas. – KOSMO! ONLINE