fbpx

Kapal kontena bawa muatan berbahaya karam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah kapal kontena berbendera Liberia karam di luar pantai Kerala hari ini. - AFP

NEW DELHI – Sebuah kapal kontena berbendera Liberia yang membawa muatan kargo berbahaya karam di luar pantai Kerala, selatan India, kata tentera laut negara itu hari ini selepas menyelamatkan kesemua 24 anak kapal.

Tentera Laut India berkata, MSC ELSA 3 yang disenaraikan sebagai kapal kargo sepanjang 184 meter, menghadapi masalah semalam dan mengeluarkan panggilan kecemasan.

Kapal itu belayar dari pelabuhan Vizhinjam ke Kochi, India.

Pesawat tentera laut bergegas ke kawasan itu dan melihat dua rakit penyelamat.

“Kesemua 24 anak kapal telah diselamatkan,” kata Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan.

Pengawal Pantai India (ICG) dan bot peronda tentera laut menyelamatkan kesemua kelasi yang berasal dari Georgia, Russia, Ukraine dan Filipina.

“Kapal itu karam bersama 640 kontena, termasuk 13 kargo berbahaya dan 12 yang mengandungi kalsium karbida,” kata kenyataan kementerian berkenaan.

Ia bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci muatan kontena yang dikatakan berbahaya, manakala kalsium karbida digunakan dalam industri kimia, termasuk untuk pengeluaran baja dan pembuatan keluli.

“Memandangkan ekosistem marin yang sensitif di sepanjang pantai Kerala, ICG telah mengaktifkan kesediaan tindak balas pencemaran sepenuhnya,” kata tentera laut.

Kapal itu juga mengandungi kira-kira 370 tan bahan api dan minyak, namun Pengawal Pantai berkata, setakat ini, tiada tumpahan minyak dilaporkan. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI