GEORGE TOWN – Kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun yang disyaki menjadi mangsa dera ibu bapa mungkin akan ditempatkan di institusi penjagaan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sekiranya tiada waris terdekat yang sanggup menjaganya.
Pengarah JKM Pulau Pinang, Zakaria Taib berkata, pihaknya kini masih dalam usaha mengesan waris terdekat yang boleh dan sanggup menjaga kanak-kanak berkenaan, namun setakat ini usaha itu belum membuahkan hasil.
“Pihak kami tidak akan memaksa mana-mana waris untuk menjaga kanak-kanak ini. Namun jika tiada seorang pun waris yang sanggup mengambil tanggungjawab, kita akan tempatkan mangsa di institusi penjagaan di bawah seliaan JKM.
“Ini merupakan langkah terakhir kerana kita sebolehnya mahu kanak-kanak ini dibesarkan dalam persekitaran keluarga,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, Zakaria turut memaklumkan bahawa abang kepada mangsa yang berusia 15 tahun menetap bersama nenek mereka sejak kecil dan berada dalam keadaan baik.
“Kanak-kanak perempuan ini pun sebelum ini menetap bersama neneknya ketika masih kecil.
“Namun atas faktor tertentu bapanya telah mengambil kanak-kanak ini semula daripada jagaan neneknya,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan polis menahan sepasang suami isteri berusia 47 dan 49 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes seorang kanak-kanak perempuan lebam dan luka pada belakang badan dalam kejadian di sebuah rumah di Sungai Ara, Ahad lalu.
Kedua-dua suspek kini disambungkan reman sehingga 29 Mei ini bagi membantu siasatan.-KOSMO! ONLINE