fbpx

Jenazah tokoh wartawan Fauziah Rauf selamat dikebumikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JENAZAH Allahyarham Fauziah Rauf selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selayang Baru pukul 2.30 petang tadi.

SELAYANG – Jenazah wartawan veteran, Fauziah Rauf  selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Selayang Baru pukul 2.30 petang tadi.

Pengebumian Fauziah atau nama sebenarnya Fauziah Rauf Omar, 81, berlangsung lancar dan penuh hiba dengan dihadiri kira-kira 100 ahli keluarga, kenalan serta rakan-rakan seperjuangan yang datang memberikan penghormatan terakhir.

Sebelum disemadikan, jenazah Allahyarham terlebih dahulu dibawa ke Masjid Selayang Baru untuk dimandikan, dikafankan dan disolatkan selepas solat zohor tadi.

Antara individu yang hadir ialah penulis lirik tersohor, Habsah Hassan selain beberapa wakil dunia kewartawanan dan hiburan tanah air.

Allahyarham Fauziah merupakan pengasas Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) dan antara nama besar yang pernah menggerakkan dunia majalah hiburan tanah air menerusi penerbitan seperti PESTA, Hawa dan Pentas Dunia di bawah Nilly Publication.

Sebelum bergelar penerbit, Fauziah mengasah bakat sebagai wartawan Majalah Wanita di bawah naungan akhbar Utusan Malaysia.

Menerusi sumbangan besar kepada industri, beliau pernah menerima Anugerah Tokoh Wartawan Berjasa sempena Anugerah Kewartawanan Industri Perfileman Malaysia (AKIFMA) 2017.

Jasanya turut dikenang apabila berjaya mengangkat nama Malaysia ke pentas antarabangsa dengan membawa penyanyi tempatan menyertai pertandingan Voice of Asia di Kazakhstan, termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza yang memenangi Grand Prix pada 2002.

Allahyarham meninggalkan empat anak dan 13 cucu. Suaminya, Allahyarham Omar Sudi atau lebih dikenali sebagai Omar Manan merupakan pelakon terkenal era 1990-an dan pengasas Persatuan Seniman.

Pemergian Fauziah bukan sekadar kehilangan buat dunia kewartawanan tetapi turut menutup satu legasi penerbitan hiburan yang pernah menjadi penghubung antara artis dan peminat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI