SUNGAI PETANI – Taktik licik kumpulan jenayah bergelar Geng Bob yang aktif mencuri sarung meter air milik Syarikat Air Darul Aman (SADA) sejak enam bulan lalu tumpas apabila dua suspek utama diberkas baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, tangkapan itu dibuat hasil risikan menerusi Ops Lusuh yang dijalankan sepanjang bulan ini selepas berlaku peningkatan kes kecurian harta benda di daerah tersebut.
Katanya, dua lelaki berusia lingkungan 30-an ditahan pada 12 Mei lalu oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda.
“Dalam operasi itu, seorang lelaki dipercayai pengusaha kedai barangan lusuh turut diberkas kerana disyaki membeli sarung meter air yang dicuri.
“Hasil serbuan, polis merampas 45 unit sarung meter air milik SADA, satu beg plastik hitam berisi 11.05 kilogram (kg) wayar tembaga yang telah dibakar serta sebuah kereta milik suspek,” katanya pada sidang akhbar di IPD Kuala Muda hari ini.
Tambahnya, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine manakala semakan rekod lampau pula mendapati mereka terlibat dalam jenayah dan penyalahgunaan dadah.
Menurut Hanyan, modus operandi kumpulan itu adalah menyasarkan meter air yang dipasang di luar rumah dan premis perniagaan, khususnya pada awal pagi. – KOSMO! ONLINE