LONDON – Juara dunia Formula Satu (F1) 2009, Jenson Button percaya Lando Norris perlu lebih tenang terutama dalam mengurus tekanan dengan lebih baik jika mahu benar-benar mencabar gelaran dunia musim ini.
Menurut Button, masalah utama pelumba McLaren itu bukan terletak pada kelajuan atau kemahiran memandu, tetapi lebih kepada cabaran mental yang semakin menekan sejak permulaan musim 2025.
“Ia bukan soal pemanduan kerana dia (Norris) tahu potensi dirinya dalam perlumbaan ini. Cuma bagaimana dia mengurus tekanan dan aspek mental itu yang menjadi cabaran besar.
“Kita dapat lihat dia agak tertekan dalam beberapa perlumbaan lalu,” kata Button.
Norris yang memenangi perlumbaan pembukaan musim di Grand Prix (GP) Australia, kini ketinggalan 13 mata di belakang rakan sepasukan, Oscar Piastri, dalam perebutan gelaran dunia musim ini.
Namun, sejak kemenangan di Australia, Norris belum berjaya menambah koleksi kemenangan dan turut bergelut dalam sesi kelayakan.
“Saya mahu lihat Lando (Norris) yang lebih santai. Dia tahu dia laju, tetapi tekanan dalam F1 kadang-kadang boleh menguasai diri. Mengurus tekanan itu adalah bahagian paling sukar dalam kerjanya,” tambah Button lagi.
Norris sebelum ini juga secara terbuka mengakui kelemahan dirinya, prestasi yang tidak konsisten terutama dalam kelayakan menjejaskan momentumnya untuk mendapatkan petak utama. – AGENSI