JASIN – Dua anggota tentera tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, di sini selepas cubaan mencuri lembu berjaya dihidu penduduk kampung di Simpang Bekoh, di sini, semalam.
Suspek yang masing-masing berusia 26 tahun itu hadir ke IPD kira-kira pukul 2.30 petang sebelum ditahan dan direman selama sehari bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Mohamad Rusli Mat berkata, sebelum kejadian satu laporan turut dibuat pemilik ternakan terlibat di Balai Polis Simpang Bekoh pada pukul 3.25 pagi.
“Pengadu seorang lelaki berusia 41 tahun mendakwa dia telah menerima panggilan daripada rakannya mengatakan terdapat sebuah kenderaan jenis Proton Persona telah menceroboh kawasan kandang.
“Kawan pengadu juga memberitahu telah ternampak dua lelaki, salah seorang daripadanya sempat masuk ke dalam kandang lembu, manakala rakannya menunggu di dalam kereta,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, penduduk kampung kemudian cuba mengejar suspek, namun anggota tersebut melarikan diri dengan menaiki kereta sebelum kenderaan dipandu terbabas melanggar penghadang sungai.
“Mereka terus meninggalkan kenderaan tersebut dan lolos. Bagaimanapun pada pukul 2.30 petang hari sama, suspek datang serah diri ke IPD dan salah seorang mengaku kenderaan yang ditinggalkan di lokasi adalah miliknya,” ujarnya.
Katanya, suspek juga mengakui telah melakukan kegiatan itu sebelum ini dan berjaya mencuri seekor lembu di kawasan sama yang dipercayai untuk dijual sempena perayaan Aidiladha.
Ujarnya lagi, kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Jasin esok bagi permohonan sambung reman bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 379 kerana mencuri. – KOSMO! ONLINE