MENGHIDUPKAN ilustrasi indah kediaman mewah persis dalam majalah dekorasi sememangnya menjadi idaman ramai orang.
Bagi merealisasikan impian itu, si pemilik tidak semestinya perlu mengeluarkan belanja besar untuk membuatkan tatarias tampak mewah dan eksklusif.
Segala yang dihajatkan itu mampu menjadi realiti dengan menggunakan kreativiti, perancangan bijak dan pemilihan elemen sesuai supaya kediaman kelihatan elegan.
Bagi Pengarah Projek MZH Design, Zairis Zafira Mior Zawari, terdapat beberapa cara boleh dibuat untuk menaik taraf suasana kediaman agar kelihatan mewah dengan bajet rendah.
Katanya, tujuan itu boleh dicapai dengan mudah jika mengikut aturan dan gaya yang betul, di samping perincian teliti bagi mengelakkan kesilapan.
“Gunakan warna semula jadi seperti putih (off white) atau kuning air (beige). Warna-warna seperti ini akan membuatkan ruang kelihatan lebih luas dan berkelas.
“Bingkai gambar atau lampu dengan ciri-ciri warna keemasan dan perak boleh ditambah sebagai hiasan dinding bagi mewujudkan nuansa aura berbeza,” katanya kepada CitaRasa.
Dalam pada itu, Zairis Zafira menasihati pemilik kediaman supaya meluangkan masa dan tenaga untuk menghasilkan produk buatan sendiri atau do it yourself (DIY) agar dapat membuat lebih penjimatan.
Katanya, sedikit perubahan mampu mewujudkan impak luar biasa meskipun barangan atau perabot yang digunakan jauh lebih murah dan bukan berjenama mewah seperti Lorenzo, Rozel, King Living atau BoConcept.
“Tidak salah jika menggunakan produk DIY untuk menghias perabot atau menjadikannya aksesori.
“Sebagai contoh, anda boleh juga mengecat kaki meja atau bingkai gambar dengan warna metalik.
“Ini boleh memberi kesan mewah tanpa kos yang tinggi, selain aksesori bertemakan kaca atau kristal memberikan kilauan mewah di ruang tamu.
“Kesan kilauan warna metalik itu mampu meniru penampilan logam seperti emas, perak, gangsa dan tembaga.
“Ini kerana, kebiasaanya rona sebegini sering digunakan dalam rekaan dalaman dan perabot bagi memberi kesan mewah serta moden.
“Perabot minimalis dengan rekaan elegan pada harga berpatutan atau perabot terpakai juga tidak menjadi masalah, asalkan masih dalam keadaan baik.
“Perabot lama boleh diberikan penampilan baharu sama ada dengan membersihkan, mengecat atau menukar kain kusyen atau upholstery,” katanya.
Kongsi Zairis Zafira, pilihan rona kusyen, langsir dan alas meja juga memainkan peranan penting bagi mewujudkan rasa elegan serta menyerlahkan pesona sofistikated pemilik kediaman.
“Warna gelap atau bertekstur pada sarung kusyen, langsir atau alas meja mampu memberikan kesan mewah seperti kain velvet, satin dan linen.
“Jika ingin sesuatu yang ‘luar biasa’, anda boleh guna material sebegitu di ruang tamu atau bilik tidur.
“Langsir yang panjang hingga ke lantai juga mampu memberi kesan ilusi supaya siling kelihatan tinggi dan membuatkan ruang lebih luas. Penggunaan cermin dengan bingkai besar dan reka bentuk vintaj atau moden juga boleh memberikan sentuhan mewah.
“Gantung gambar dengan bingkai yang elegan berwarna kemasan, perak atau hitam juga boleh dilakukan.
“Susunan bingkai gambar kecil yang disusun secara simetri atau grid juga dapat membantu kediaman kelihatan lebih ‘berharga’,” katanya.