NOVA GORICA – Perlumbaan merebut jersi merah jambu selaku juara keseluruhan Giro d’Italia 2025 kembali terbuka selepas kemalangan besar pada penghujung peringkat ke-14 awal pagi tadi menyaksikan beberapa pencabar utama kehilangan masa berharga.
Pelumba UAE Team Emirates-XRG, Isaac Del Toro kekal sebagai pendahulu keseluruhan, namun hanya dipisahkan satu minit 20 saat dengan pelumba Visma-Lease a Bike, Simon Yates di tangga kedua.
Rakan sepasukan Del Toro, Juan Ayuso pula jatuh ke tempat ketiga dan ketinggalan satu minit 26 saat sementara Ricard Caparaz (EF-Education-Easypost) di tangga keempat keseluruhan.
Situasi yang menjadi perhatian ialah kegagalan beberapa pelumba utama seperti Primoz Roglic (Red Bull-Bora-Hansgrohe), Egan Bernal (Ineos Grenadiers) dan Thymen Arensman untuk mengekalkan kedudukan apabila mereka kehilangan 48 saat akibat insiden kemalangan.
“Segalanya berlaku terlalu pantas. Saya cuba elak pelumba yang jatuh tetapi tak sempat. Jalan terlalu licin dan semua orang nak ke depan. Itu punca berlaku masalah tersebut,” kata Bernal yang begitu kecewa dengan insiden kemalangan itu.
Peringkat ke-14 itu dimenangi Kasper Asgreen dari EF-Education-Easypost yang melakukan pecutan solo sebelum menamatkan perlumbaan 16 saat di hadapan pencabar terdekat.
Dalam masa sama, Carapaz mengakui segala strategi yang dibawa pasukannya menjadi dan membantu Asgreen untuk mencipta kemenangan.
“Kami tahu bila waktu yang sesuai untuk menyerang dan berada di hadapan. Itu membuatkan perbezaan besar perlumbaan hari ini,” ujarnya.
Pengarah Sukan EF Education-EasyPost, Juanma Garate menyifatkan kemenangan tersebut memastikan perebutan gelaran keseluruhan terus terbuka. – AGENSI