fbpx

ASEAN setuju Timor Leste jadi ahli penuh, segera penuhi instrumen undang-undang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad.

KUALA LUMPUR – ASEAN memberi gambaran persetujuan untuk menerima Timor Leste sebagai anggota penuh blok serantau itu, namun peranan perlu segera dimainkan negara tersebut untuk memenuhi segera instrumen undang-undang yang ditetapkan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ketika ini, banyak lagi instrumen undang-undang perlu dilaksanakan Timor Leste sebelum diiktiraf sebagai anggota penuh ASEAN.

“Kita sudah lihat 84 instrumen dan turunkan kepada 66 instrumen, kebanyakkanya bawah Majlis Ekonomi ASEAN, bawah Mesyuarat Majlis Komuniti Politik- Keselamatan ASEAN (APAC) sudah buat.

“Jadi, ia bawah ekonomi (perlu dipenuhi). Timor Leste perlu berusaha dan kita cuba membantu untuk mereka dapat mematuhi instrumen undang-undang tersebut.

“Kita juga meneroka cadangan supaya jika Timur Leste tidak boleh buat, kita bagi dia jangka masa.

“Ini terpulang kepada kepimpinan negaranya, kemudian mereka boleh penuhi (instrumen undang-undang), katakan dalam masa lima tahun, jadi ini cara untuk kita pastikan mereka bersama ASEAN tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang akhbar Menteri Luar sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.

Katanya, Timor Leste perlu bekerja keras bagi memastikan negara itu dapat memenuhi sebahagian daripada keperluan undang-undang yang digariskan.

“Kami memuji kemajuan bermakna yang telah dicapai oleh Timor-Leste dalam melaksanakan pelan tindakan seperti yang dinyatakan dalam laporan kemajuan.

“ASEAN juga mengiktiraf usaha berterusan oleh negara anggota dalam memberikan bantuan pembangunan kapasiti kepada Timor-Leste, yang amat penting bagi mempercepatkan proses kemasukan negara itu sebagai anggota penuh,” katanya.

Pada masa sama, Mohamad berkata, pihaknya memberikan sokongan penuh kepada keanggotaan penuh Timor Leste khususnya dalam usaha negara itu memenuhi kriteria yang masih berbaki.

“Kami mengambil maklum cadangan agar keanggotaan Timor-Leste dalam ASEAN diberikan pada tahun ini dan dalam masa yang sama, mereka perlu berusaha memenuhi kriteria ditetapkan dalam pelan tindakan tersebut,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI