KUALA LUMPUR – ASEAN sebulat suara bersetuju untuk melaksanakan Konsensus Lima Perkara secara menyeluruh dengan segera, sebagai langkah penting ke arah penyelesaian konflik kemanusiaan dan politik yang berlarutan di Myanmar sejak lebih empat tahun lalu.
Persetujuan itu dicapai dalam perbincangan tidak rasmi Menteri-Menteri Luar ASEAN, yang menyifatkan konsensus tersebut sebagai kerangka utama yang telah dipersetujui oleh para pemimpin rantau ini demi mencapai keamanan dan perdamaian berkekalan di Myanmar.
Menteri Luar Singapura, Dr. Vivian Balakrishnan memaklumkan bahawa Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama rakan sejawatnya dari Thailand, Maris Sangiampongsa baru-baru ini, telah mengadakan lawatan ke Naypyidaw dan mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak berkepentingan.
“Dalam perundingan tidak rasmi hari ini (semalam), para Menteri Luar ASEAN menegaskan keperluan mendesak untuk melaksanakan sepenuhnya Konsensus Lima Perkara. Ini adalah rangka kerja utama yang telah disepakati di peringkat kepimpinan ASEAN bagi mencapai perdamaian jangka panjang di Myanmar,” katanya dalam satu catatan di Facebook malam tadi.
Vivian turut menegaskan bahawa ASEAN bersedia memainkan peranan dalam menyokong proses damai tersebut, namun penyelesaian sebenar mestilah datang dari rakyat Myanmar sendiri.
“Hanya dengan cara itu, kita dapat mewujudkan hala tuju masa depan yang sah, inklusif dan mencerminkan kehendak rakyat Myanmar,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan rakyat Myanmar yang semakin meruncing, terutama selepas berlakunya tragedi gempa bumi pada Mac lalu.
“Gempa bumi tersebut menjadi peringatan pahit tentang betapa rapuhnya situasi di Myanmar. Singapura telah menghantar pasukan bantuan dan bantuan kemanusiaan, kami komited untuk terus membantu.
“Namun begitu, bantuan kemanusiaan semata-mata tidak mencukupi. Ia perlu disusuli dengan keazaman politik untuk melaksanakan Konsensus Lima Perkara yang telah dipersetujui bersama,” jelasnya.
Konsensus Lima Perkara yang dimeterai pada Sidang Khas Pemimpin ASEAN di Jakarta pada tahun 2021 merangkumi lima tunjang utama iaitu menghentikan keganasan, dialog konstruktif, bantuan kemanusiaan, menjadikan ASEAN sebagai perantara serta lawatan wakil khas ASEAN ke Myanmar. – KOSMO! ONLINE