PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap ASEAN All-Stars dapat membawa semangat ASEAN ketika bertemu kelab Manchester United (MU) dalam perlawanan persahabatan, Rabu ini.
Perdana Menteri berkata, beliau mengesahkan telah dijemput untuk menonton perlawanan bola sepak berkenaan.
“Pada 28 Mei ini, MU akan datang ke sini (Malaysia) untuk menentang barisan pemain ASEAN All-Stars.
“Ia bukan mudah (untuk menentang pasukan MU), tapi saya telah dijemput untuk datang,” katanya pada sidang akhbar bersama Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh di sini, hari ini.
Juara 13 kali Liga Perdana Inggeris, MU akan kembali ke Malaysia selepas 16 tahun dalam siri jelajah pascamusim bulan depan.
MU dijadualkan menentang pasukan ASEAN All-Stars pada 28 Mei di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Media sebelum ini melaporkan, lima pemain Malaysia disenaraikan dalam skuad ASEAN All-Stars termasuk Muhammad Azam Azmi Murad, Muhammad Adib Abdul Raop, Muhammad Haziq Nadzli, Declan Lambert, dan Sergio Aguero.
Kelima-lima pemain Malaysia akan bermain di bawah bimbingan bekas jurulatih Vietnam, Kim Sang Sik, yang pernah membawa pasukan itu menjuarai Kejohanan ASEAN 2024. – KOSMO! ONLINE