fbpx

Arsenal akhirnya muncul juara Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain Arsenal meraikan kejayaan bergelar juara Eropah menewaskan Barcelona pada aksi final awal pagi tadi. - ARSENALWFC

LISBON – Kapten skuad wanita Arsenal, Kim Little mengakui pasukannya layak dilabel sebagai gergasi Eropah selepas menjulang trofi Liga Juara-Juara Wanita Eropah (UCLW) menewaskan Barcelona 1-0 di pentas final awal pagi tadi.

Pada aksi di Stadium Jose Alvalade, Portugal itu, skuad The Gunners berjaya menafikan impian Barcelona untuk mendakap trofi UCLW selama tiga musim berturut-turut menerusi jaringan tunggal daripada penyerang gantian, Stina Blackstenius pada minit ke-74.

Kemenangan tersebut menamatkan penantian Arsenal untuk bergelar juara Eropah buat kali pertama dalam tempoh 18 tahun selepas kali terakhir bergelar juara pada edisi 2007.

Kata Little, keseluruhan prestasi dipamerkan rakan sepasukannya sepanjang musim ini sangat luar biasa dan bukan mudah untuk menghadapi Barcelona yang dianggap kelab wanita terbaik di dunia sebelum ini.

“Kejayaan ini cukup istimewa kerana saya sudah mewakili Arsenal sejak 2008, setahun lepas mereka menjulang trofi UCLW buat kali pertama.

“Saya sendiri melihat pasukan ini melalui fasa revolusi dan kini kami kembali menjuarai trofi terbaik yang ada dalam bola sepak wanita di Eropah,” katanya.

Sementara itu, pengendali Arsenal, Renee Slegers yang dinaikkan pangkat sebagai ketua jurulatih awal tahun ini berharap trofi UCLW bakal menjadi anjakan buat pasukan untuk terus mendominasi pada musim akan datang.

“Kami telah melalui fasa turun dan naik musim ini dan pengorbanan pasukan akhirnya berbaloi dengan kejayaan yang diraih,” katanya.

Kejayaan bersejarah itu seharusnya boleh menjadi suntikan semangat kepada skuad lelaki Arsenal kendalian Mikel Arteta yang gagal menamatkan badi memenangi Liga Juara-Juara Eropah buat kali pertama apabila tewas di separuh akhir musim ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI