KAHERAH – Penunjuk perasaan dan pakar-pakar kesihatan dari 31 negara akan berarak ke sempadan Gaza pada bulan depan dalam usaha menggesa badan antarabangsa untuk bertindak terhadap krisis kemanusiaan yang semakin teruk di wilayah Palestin itu, lapor agensi berita Anadolu semalam.
Peserta bagi Perarakan Global ke Gaza itu akan berhimpun di Mesir pada 12 Jun ini.
Mereka kemudian akan berarak ke sempadan Rafah, utara Semenanjung Sinai selama seminggu untuk menuntut bantuan kemanusiaan segera ke Gaza, di mana bantuan telah terputus sejak 2 Mac lalu.
Ahli Inisiatif Kesihatan Antarabangsa, Dr. Huseyin Durmaz berkata, rantau itu menghadapi krisis kesihatan dan kemanusiaan yang serius.
“Sepanjang proses ini, institusi antarabangsa dan kerajaan tidak menunjukkan prestasi seperti yang diharapkan,” kata Durmaz.
Doktor yang berpangkalan di Turkiye itu menyatakan bahawa gabungan yang merangkumi lebih 150 badan bukan kerajaan (NGO) itu bersikap neutral dari segi politik dan bersatu semata-mata untuk tujuan kemanusiaan.
“Kami berkumpul dengan aktivis daripada lebih 150 NGO dari 31 negara dan membentuk gabungan antarabangsa.
“Kali ini, kami akan berarak ke lintasan sempadan Rafah untuk mengingatkan institusi antarabangsa tentang tugas mereka dan memberi tekanan supaya keadaan di Gaza dapat berakhir dan dibuka kepada bantuan kemanusiaan,” tambah Durmaz. – AGENSI