fbpx

Ahli perniagaan rugi RM5.3 juta ditipu ‘Ms Ng’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Seorang ahli perniagaan berputih mata apabila kerugian RM5.3 juta ditipu pakar pelaburan dikenali Ms Ng.

Semuanya bermula apabila mangsa merupakan warga tempatan yang berusia 67 tahun itu menekan pautan iklan pelaburan di aplikasi Google.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, perkara itu terbongkar hasil laporan diterima di daerah ini daripada mangsa berkaitan kes penipuan pelaburan tidak wujud.

Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa telah disambungkan ke aplikasi WhatsApp sebaik menekan pautan di aplikasi Google itu.

Mangsa telah berhubung melalui panggilan telefon dengan suspek memperkenalkan diri sebagai ‘Ms Ng’ yang bertindak sebagai tenaga pengajar pelaburan itu.

“Kemudiannya, mangsa telah diberi penerangan berkenaan pelaburan itu dan dimasukkan ke kumpulan aplikasi WhatsApp.

“Mangsa telah mengikuti pelaburan tersebut kira-kira seminggu sebelum diminta ‘Ms Ng’ untuk mendaftar sebagai pelabur baru di satu platform pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, pada peringkat awal mangsa telah mendapat pulangan awal berjumlah RM24,308.48 yang membuatkan dirinya lebih yakin pada pelaburan itu.

Ujarnya, mangsa kemudiannya telah membuat 13 transaksi wang berjumlah RM5.3 juta ke tiga jenis akaun berbeza dengan dijanjikan keuntungan mengikut pasaran.

“Mangsa berasa ditipu apabila diarah membayar pelbagai bayaran cukai bagi membuat pengeluaran wang keuntungan pelaburan itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI