LAHORE – Sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh, manakala 92 lagi cedera dalam berbilang insiden yang disebabkan oleh hujan lebat dan angin kencang di wilayah timur tengah Pakistan, Punjab, lapor laman berita TRT World.
Lebih 10 orang terbunuh dalam kejadian runtuhan rumah usang yang berada di lokasi tidak selamat di beberapa bahagian di Punjab, lapor akhbar Dawn semalam sambil memetik Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Wilayah (PDMA).
Seorang pekerja maut, manakala lima yang lain cedera parah apabila bumbung sebuah kilang tempatan runtuh akibat angin kencang, lapor penyiar Pakistan Television.
Seorang lagi maut akibat dipanah petir.
Kelmarin, PDMA mengeluarkan amaran mengenai angin kencang, ribut pasir dan hujan di serata bahagian Punjab.
“Kekal berada di tempat selamat untuk mengelak daripada petir. Jangan berada di tempat terbuka semasa cuaca buruk dan kilat.
“Elakkan perjalanan yang tidak perlu dan pandu perlahan-lahan,” kata PDMA dalam satu kenyataan.
Menurut Jabatan Meteorologi Pakistan (PMD), sistem cuaca yang kuat membawa ribut petir yang kuat, hujan lebat dan hujan batu ke bahagian wilayah Khyber Pakhtunkhwa serta Punjab, lapor akhbar Pakistan Today.
Ia termasuk bandar Lahore, Islamabad, Rawalpindi, Abbottabad, Gujranwala dan kawasan sekitarnya semalam. – AGENSI