PETALING JAYA – Tindakan kejam seorang lelaki warga emas menyembur cat aerosol berwarna biru ke atas seekor monyet yang dikurung dalam sangkar mengundang kecaman dalam kalangan netizen.
Menerusi satu perkongsian di Facebook milik Starry Shha, lelaki berkenaan dilihat menyembur cat berkenaan secara sengaja ke seluruh badan haiwan terbabit yang berada dalam kurungan.
Difahamkan, monyet berkenaan telah berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) sebelum insiden penyeksaan tersebut berlaku.
“Tindakan ini sangat zalim. Monyet itu dalam jagaan, bukan untuk diseksa. Ia akan menghidu bahan toksik dan menjilat cat pada badannya yang boleh membawa kepada keracunan,” tulis pengguna tersebut.
Menurut kemas kini terbaharu, individu berkenaan telah menghubungi pegawai di Balai Polis Sungai Pelong bagi tindakan segera menyelamatkan monyet tersebut.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna meluahkan rasa marah dan simpati terhadap nasib malang haiwan berkenaan.
“Harap dikenakan tindakan, jangan pula kata orang tua tu ada kad OKU… tak ada rasa simpati langsung,” komen Rabeena Pink.
“Allahu, kenapalah kejam sangat… tak sepatutnya berbuat begitu,” kata Addy Juraidy.
“Walaupun rumah saya penuh dengan binatang setiap hari datang makan buah dan telur, tapi tak pernah sekali pun terdetik nak bunuh atau aniaya. Kesiannya,” luah Farihah Fidry. – KOSMO! ONLINE