PUCHONG – Taktik licik satu penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi menggunakan lori ‘bonded’ terbongkar dalam serbuan di sebuah premis, di sini, semalam.
Serbuan Ops Gasak bermula pukul 11 malam itu dijalankan pasukan risikan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Khas IPK Selangor.
Ketika serbuan, dua lelaki warga asing berusia lewat 40-an ditemui sedang menjalankan aktiviti pemindahan LPG bersubsidi 14 kilogram (kg) ke dalam tong seberat 50 kg di dalam lori berkenaan.
Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri KPDN, Mohd. Hanizam Kechek, aktiviti pemindahan LPG atau ‘decanting’ itu dilakukan bertujuan untuk mengaburi pihak berkuasa berhubung penyelewangan tersebut.
“Pelaku dipercayai menggunakan kenderaan jenis lori ‘bonded’ untuk melakukan aktiviti pemindahan gas tersebut bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Hanizam berkata, hasil serbuan turut menemui lebih 90 unit tong LPG pelbagai jenama dengan nilai rampasan dianggarkan melebihi RM100,000.
Sehubungan itu, katanya, tangkapan turut dibuat ke atas dua individu lelaki tersebut untuk rakaman percakapan bagi membantu siasatan.
“Kita juga mengambil tindakan sitaan terhadap kesemua tong berisi LPG bersama beberapa peralatan seperti hos penyambung dan tong ais yang disyaki digunakan sebagai teknik konvensional pemindahan gas.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan menimbulkan syak yang munasabah akan melakukan kesalahan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE