fbpx

Ramai anak seni Malaysia bertaraf cendekiawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYANYI Soo Wincci Ahmad Idham, Norzizi Zulkifli, M. Nasir menjadi antara permata seni negara yang disegani dek ketinggian ilmu dalam bidang masing-masing.

MINGGU lalu kecoh dalam media sosial mengenai seorang individu yang mengkritik jurusan komunikasi dan kesenian sebagai jurusan kelas terendah dalam universiti di Malaysia.

Mengakui tidak pernah menghormati selebriti yang dirasakan tiada nilai kepada masyarakat, khalayak sebagai bangsa bertamadun anggap sahaja individu itu sebagai lalat atau nyamuk yang hanya mahukan perhatian dan menggunakan kebinasaan inteleknya untuk mengecap nikmat trending.

Sekarang, alihkan fokus kita kepada para intan terpilih yang sekian lama menjadi emas dalam masyarakat. Bukan sahaja bakat, ketinggian ilmu mengangkat nilai para anak seni kebanggaan itu menjadi idola bukan sahaja dalam budaya pop bahkan akademik.

Mereka termasuklah Allahyarham Tan Sri Datuk Dr. Jins Shamsuddin yang menerima PhD di Universiti Utara Malaysia (UUM) ketika berusia 75 tahun serta bekas peserta Akademi Fantasia musim empat (AF4), Dr. Diddy Hirdy yang menerima gelaran doktor di University Of Liverpool dalam bidang muzik. Penggiat teater juga pelakon, Rosdeen Suboh juga memiliki PhD dalam bidang kesenian dan kini bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaya.

Berikut pula, lima selebriti yang menggenggam Ijazah Kedoktoran (PhD) pelbagai jurusan dari universiti-universiti terkemuka dalam dan luar negara.

Norzizi Zulkifli

PERNAH bergelar seorang pengacara popular suatu ketika dahulu, Dr. Norzizi Zulkifli berjaya menggengam PhD dalam bidang kesenian tradisional Melayu dan Barat dari University Of Wollongong, Australia pada Oktober 2018.

Menurut Zizi, bukan mudah untuk sampai ke tahap tersebut kerana dia terpaksa bekerja pada waktu siang dan menyiapkan tesis di waktu malam sehingga menjelang pagi.
Dia juga terpaksa menyiapkan tesis sambil menjaga bapanya, Allahyarham Datuk Zulkifli Zain yang juga pelakon veteran yang sedang sakit akibat masalah jantung ketika itu.

Selepas bertahun bergiat aktif dalam kesenian teater tradisional dan menjawat jawatan sebagai pensyarah sehingga dilantik menjadi Ketua Pengajian Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Norzizi kini bergelar Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar di pusat pengajian berkenaan.

Ahmad Idham

SELEPAS tujuh tahun berhempas ulas menyiapkan penyelidikan, pengarah dan pelakon Ahmad Idham berjaya menggenggan PhD dari Universiti Utara Malaysia (UUM) pada November 2022.

Majlis Konvokesyen ke-34 UUM merupakan hari penuh bersejarah buat pemilik nama asal Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 51, kerana berjaya menamatkan pengajian yang disifatkan penuh cabaran dan rintangan bagi menyiapkan penyelidikan.

Malah, kehadirannya di UUM bagi hari konvokesyen sekali gus menafikan spekulasi netizen dan pihak tertentu yang mendakwanya memiliki PhD palsu dan dibeli.

Pengarah filem Jangan Pandang Belakang itu berharap kejayaannya menghabiskan penyelidikan dan menerima PhD dapat mencetuskan semangat serta memberi inspirasi kepada generasi muda untuk melanjutkan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi.

Fitri Haris

PADA 10 Disember 2019, bekas anggota kumpulan nasyid UNIC, Fitri Haris menerima PhD dalam bidang muzik islamik di Universiti Nottingham, United Kingdom (UK).
Mengambil masa selama empat tahun, pemilik nama lengkap Mohamad Fitri Mohamad Haris berjaya melepasi sesi Viva Voce PhD iaitu sesi pembentangan dengan panel mengenai kajian yang dibuat dan lulus dengan suntingan minor.

Pelantun lagu Aya Sofea itu turut memaklumkan penerimaan PhD tersebut didedikasikan kepada ibu bapanya yang selalu menyokong kejayaannya.
Tiga tahun kemudian, dia menerima pengiktirafan tersenarai Successful People In Malaysia In 2022 oleh Britishpedia dari UK.

Soo Winci

BUKAN sahaja bergelar ratu cantik, penyanyi dan pelakon Soo Wincci menggenggam tiga Ijazah Sarjana dan dua PhD.
PhD pertamanya dalam bidang perniagaan diperoleh di Open University Malaysia, manakala PhD kedua dalam bidang artistik di University Of Polytechnic di Valencia, Sepanyol.

Pencapaian tersebut melayakkan wanita berusia 40 tahun itu memecah rekod menjadi Miss World Malaysia pertama dilantik sebagai Profesor Madya dalam bidang muzik.
Malah, pelantikan terbabit turut melakar sejarah apabila mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Record (MBOR) tiga tahun lalu.

M. Nasir

MEMULAKAN karier seni sejak 1979, Datuk M. Nasir menerima Ijzah Kehormat Doktor Persembahan pada konvokesyen Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada November tahun lalu. M. Nasir atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Mohamed, 68, menyifatkan anugerah tersebut sebagai pengiktirafan yang cukup besar terhadap perjuangannya dalam bidang seni.

Komposer juga penyanyi itu turut melihat gelaran doktor diterima sebagai bukti kepekaan UPSI terhadap perkembangan industri hiburan tanah air.
Dalam masa sama, M. Nasir menerusi studio juga syarikat rakaman miliknya Luncai Emas Sdn. Bhd. sudah menjadi rakan strategik UPSI melalui perjanjian persefahaman sejak 2016 sehingga kini.

Michelle Yeoh

SELAIN melakar kejayaan di pentas Hollywood, pelakon Michelle Yeoh menerima Ijazah Kehormatan PhD dalam bidang seni halus dari Institut Filem Amerika (AFI) pada tahun 2022.

Penganugerah tersebut sekali gus menjadikannya sebagai selebriti Asia pertama yang menerima kejayaan sebegitu. Anak jati Ipoh itu mendapat pengiktirafan AFI atas sumbangan dalam industri perfileman Hollywood setelah sekitar 40 tahun mengabdikan diri dalam dunia seni.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI