IPOH – Perak akan melakukan pelantikan baharu 829 Ketua Kampung atau Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di negeri ini bermula 1 Jun depan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pelantikan itu dibuat selepas tempoh mereka dilantik telah mencapai dua tahun pada 31 Mei ini.
Katanya, penilaian akan dibuat oleh Pegawai Daerah berdasarkan pelbagai kriteria termasuk dari segi umur tidak lebih 65 tahun, prestasi perkhidmatan serta tahap kesihatan.
“Jadi pada 1 Jun ini ada Ketua Kampung yang baharu, akan kita umumkan pelantikan. Saya ucapkan penghargaan terima kasih kepada Pengerusi JPKK yang telah berkhidmat selama dua tahun ini.
“Yang dilantik semula kita harap lantikan ini akan menyemarakkan semangat membangunkan negeri. Yang tak dilantik jangan merajuk atau patah hati, teruslah bagi sumbangan pemikiran dan tenaga,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Anugerah Desa Sejahtera dan Anugerah Sejati Madani Negeri Perak tahun 2024 di sini hari ini.
Saarani turut menasihati para Ketua Kampung terutama yang tidak lagi dilantik supaya bersikap bermurah hati dan bertanggungjawab terhadap pengurusan kewangan JPKK masing-masing.-KOSMO! ONLINE.