KAJANG – Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes kecurian dompet milik seorang wanita yang meninggalkan keretanya dalam keadaan tidak berkunci di hadapan sebuah premis, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner, Naazron Abdul Yusof berkata, suspek ditahan di sekitar kawasan Bangi bersama sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 yang digunakan sewaktu kejadian kira-kira pukul 5.18 petang.
“Hasil siasatan mendapati suspek mengaku mengambil dompet milik mangsa ketika kenderaan ditinggalkan dalam keadaan pintu tidak berkunci,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau dan merupakan penganggur.
“Suspek kini ditahan reman selama tiga hari sehingga Isnin dan kes disiasat dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Sebelum ini, tular satu video di media sosial memaparkan seorang lelaki dipercayai mengambil kesempatan mencuri dompet milik seorang wanita yang meninggalkan keretanya dalam keadaan tidak berkunci.
Tindakan lelaki itu bagaimanapun berjaya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) sebelum dimuat naik di media sosial.
Kejadian itu memaparkan individu tersebut membuka pintu kereta dan mencuri dompet berkenaan selepas wanita itu meninggalkan kenderaannya. -KOSMO! ONLINE