BANGKOK – Seekor kucing menjadi sensasi internet apabila ‘ditahan’ selepas berulang kali mencakar anggota polis walaupun haiwan comel itu dijaga dengan baik oleh mereka, lapor portal berita South China Morning Post semalam.
Perkara itu dikongsikan oleh seorang pegawai polis dikenali sebagai Da Parinda Pakeesuk di media sosial pada 9 Mei lalu.
Da Parinda berkata, ‘pesalah’ itu merupakan seekor kucing baka American Shorthair yang hilang dan dibawa ke balai polis oleh seorang penduduk tempatan.
Meskipun dijaga baik, pesalah berbulu itu mencakar dan menggigit beberapa anggota polis yang bertugas.
“Kucing ini menyerang pegawai polis dan akan ditahan. Tolong kongsikan siaran ini supaya pemilik boleh datang dan mengambilnya,” demikian menurut keterangan siaran itu.
Da Parinda kemudian membawa haiwan comel itu pulang ke rumahnya dan menyediakan makanan, mainan serta tempat buang air.
“Kucing ini menjalani kehidupan yang baik, manakala polis adalah mangsa sebenar,” tambah Pakeesuk.
Siaran itu menjadi tular dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Kucing itu sombong. Kucing itu tidak bersyukur walaupun telah diselamatkan,” kata seorang netizen.
“Hei kucing! Tanpa polis ini, anda tidak akan mempunyai tempat tinggal!” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI