BANGKOK – Pasukan komando peronda sempadan Thailand merampas lebih 300 kilogram dadah kristal methamphetamine dan 3 juta pil methamphetamine (meth) dalam dua operasi berasingan, lapor portal berita Thaiger.
Operasi dilancarkan oleh Unit Komando Pembanterasan Narkotik Sempadan diketuai Komander Tentera Wilayah Kedua, Leftenan Jeneral Boonsin Phadklang.
Pasukan peronda sempadan terdiri daripada anggota polis dan tentera memintas seorang lelaki selepas menerima maklumat mengenai warga Thailand yang cuba menyeludup dadah ke Laos dari wilayah Bueng Kan, Rabu lepas.
Suspek dikenali sebagai Pradit itu diberkas sekitar pukul 8.30 malam (waktu tempatan) selepas cuba melarikan diri dengan memandu kenderaan jenis Honda CR-V.
“Polis menemui sembilan guni berisi kristal methamphetamine seberat 344 kilogram di dalam kenderaan suspek.
“Dia ditahan dan dibawa ke Balai Polis Bueng Kan Riverine sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa berkaitan untuk tindakan lanjut,” kata Phadklang.
Tangkapan kedua berlaku sekitar pukul 9 malam (waktu tempatan) di wilayah Nakhon Phanom pada hari sama.
“Suspek kedua bernama Chaleom, 42, ditahan bersama sebuah kereta Mitsubishi di Lebuh Raya 2032 dekat kampung Tha Dok Kaeo dalam daerah Si Songkhram.
“Hasil serbuan di lokasi kejadian, polis menemui kira-kira 1,591 bekas berisi 3.1 juta pil meth,” tambahnya.
Polis sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti rakan penjenayah atau konco lain yang terlibat dalam pengedaran dan pembelian dadah tersebut. – AGENSI