JOHOR BAHRU – Kemenangan Nurul Izzah Anwar sebagai Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan satu bentuk Nepotisme, sebaliknya adalah aspirasi dan kehendak ahli akar umbi.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyelar tindakan segelintir pihak yang mengatakan ia nepotisme kerana dakwaan sedemikian adalah tidak adil untuk dirinya dan parti.
“Saya masih ingat, ketika berbaki beberapa jam sahaja saya akan ditangkap polis untuk dipenjarakan, saya tiada pilihan kecuali memilih Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail untuk menggantikan saya.
“Dia juga tidak tahu berapa lama perlu menggalas tanggungjawab itu. Ketika Nurul Izzah terpaksa tinggalkan universiti untuk sambung perjuangan ini, tiada pula pihak bangkitkan nepotisme ketika itu.
“Tetapi mengapa sekarang disebut nepotisme, Wan Azizah ya, mungkin ketika itu saya pilih kerana terdesak.
“Tetapi Nurul Izzah dipilih (sebagai Timbalan Presiden) oleh ahli, selebihnya kita tawakal kepada Allah,” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.
Mengulas mengenai keputusan Pemilihan PKR Peringkat Pusat semalam, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu yakin barisan kepimpinan sedia ada menjalankan tanggungjawab terbaik bagi mengangkat PKR ke tahap lebih tinggi.
“Barisan MPP baharu ini tiada mana-mana cai, kedua-dua ‘team’ (pasukan) ada dalam kepimpinan. Kita mungkin berbeza pendapat, tetapi kekal berada dalam satu wadah yang sama.
“Kalau kita tunjuk keretakan di dalam parti itu tidak akan berhasil, itu tidak akan mampu angkat parti sekiranya tiada semangat kasih sayang dan kepercayaan semasa ahli,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar mahu semua ahli melupakan isu berbangkit semasa pemilihan cabang kerana ketika ini semuanya berada dalam satu kumpulan sama.
“Barisan ini tiada cai kerana kedua-dua kumpulan kita rangkul. Sekarang semua dalam satu kumpulan. Saya yakin barisan ini dengan sokongan rakyat kita boleh angkat PKR ke tahap lebih jauh, (tahap) lebih baik kita pernah capai,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE