PEMINAT bola sepak di Kelantan sudah mampu untuk memasang impian lebih indah apabila mantan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menzahirkan persetujuan untuk membantu wakil di negeri itu khususnya bersama Kelantan Darul Naim FC (KDN FC).
Dilabel sebagai ‘Bapa Bola Sepak Kelantan’ kerana berjaya membawa banyak kejayaan ketika memimpin The Red Warriors (TRW), Annuar sentiasa menjadi figura penting dan dianggap sebagai individu tepat yang mampu mengembalikan kegemilangan bola sepak di negeri itu.
“Saya ditawarkan peranan tertentu, seperti yang saya gambarkan sebelum ini, saya mahu melihat Kelantan bangkit semula. Saya bersetuju membantu pengurusan dan bantuan tanpa syarat dan tanpa ganjaran.
“Kelantan akan bersaing di Liga Super Insyaallah. Kita urus cara kita,serta belajar dari kelemahan masa lalu. Yang pasti,ada banyak kejutan bakal muncul…Insyaallah kita tidak benarkan pasukan Kelantan jadi belasahan lagi,” katanya menerusi ciapan di Facebook.
Kelmarin, KDN FC antara 11 pasukan yang diberikan lesen kebangsaan untuk bertanding di Liga Malaysia (Liga M) namun kelulusan itu adalah bersyarat iaitu perlu mengemukakan maklumat kewangan tambahan bagi memenuhi Kriteria Kewangan selewat-lewatnya pada 31 Mei ini.
Annuar meraih pelbagai kejayaan ketika memimpin KAFA adalah dua kali bergelar juara Liga Super pada 2011 dan 2012, Piala Malaysia (2010, 2012), Piala FA (2012, 2013), Piala Sumbangsih (2011) dan layak ke suku akhir Piala AFC pada 2012.
Berita kepulangan Annuar ke pangkuan bola sepak Kelantan juga menarik minat bekas kapten TRW, Badhri Radzi yang begitu teruja dan turut melabel Annuar sebagai individu yang cukup memahami kehendak dan selera peminat di Kelantan.
“Saya rasakan Tan Sri Annuar sebagai calon paling tepat kerana dia ‘orang Kelantan’, malah terbukti mampu bawa kejayaan. Peminat tidak pernah benci pasukan dan sambutan hangat pada aksi persahabatan bekas pemain sebelum ini jadi bukti penyokong masih rindukan Kelantan yang dulu.
“Tan Sri pernah lakukan sebelum ini dan sebagai orang yang pernah berada di bawahnya, setiap kali beliau mahu buat sesuatu, beliau pasti ada cara untuk merealisasikannya. Impian semua orang tetap sama untuk lihat kebangkitan semula dan tidak mahu lagi Kelantan dibelasah,” katanya.