fbpx

Jika tidak dihargai, bawalah hati kamu pergi – Saifuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin Nasution

PETALING JAYA – Bekas Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan bahawa perjuangan parti itu perlu diteruskan dengan meletakkan cita-cita rakyat sebagai keutamaan.

Bercakap di hadapan semua ahli parti selepas pengumuman keputusan pemilihan pada Kongres Nasional PKR semalam, Saifuddin Nasution turut berkongsi pesanan yang dititipkan oleh ibu beliau.

“Buat rakan-rakan yang tidak terpilih (Pemilihan PKR) kali ini, saya kongsikan mutiara kata ibu saya. Jika tak dihargai, bawalah hati kamu pergi. Jika dihina, mundur sedikit langkahmu, anak.

“Ini bukan soal takut atau mengalah (tapi) ini tentang kita yang masih mempunyai hati untuk memanusiakan manusia,” katanya.

Dalam pemilihan semalam, Nurul Izzah Anwar berjaya merampas jawatan kedua tertinggi parti, Timbalan Presiden daripada penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli.

Nurul Izzah meraih sebanyak 9,803 undi, manakala Rafizi pula hanya memperoleh 3,866 undi.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga Menteri Dalam Negeri menyerahkan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memulihkan perselisihan yang berlaku sepanjang kempen pemilihan berlangsung.

“Saya petik pantun yang pernah diungkap oleh Presiden. Akar hidup meresap-resap, akar mati dalam perahu. Terbakar kampung nampak asap, terbakar hati siapa yang tahu?”

“Saya serahkan kepada (Anwar) untuk memadam api yang tidak terlihat di mata dan terus memimpin keluarga besar ini. Menyatukan yang berselisih dan menyambung semula yang retak,” ujarnya.

Mengulas mengenai hala tuju Pilihan Raya Umum ke-16, Saifuddin berkata, beliau yakin dan percaya dengan kepimpinan Anwar bahawa parti tersebut mampu untuk terus membawa harapan rakyat.

“Kami akan terus menyokong. Kami akan terus berdiri teguh kerana perjuangan ini belum selesai,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI