JAKARTA – Satu klip video tular memaparkan tiga lelaki mencuri ikan keli dalam keadaan tanpa seurat benang di sebuah kolam ternakan ikan di Lumajang, wilayah Jawa Timur, lapor laman berita Kompas semalam.
Kejadian berlaku di Desa Labruk Lor pada 15 Mei lalu.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan dua daripada tiga lelaki terbabit turun ke dalam kolam lalu menangkap beberapa ekor ikan keli yang dimasukkan dalam beg plastik besar.
Seorang lagi lelaki berdiri di sekitar kolam dan membantu mengangkat plastik tersebut.
Pemilik kolam ternakan ikan keli dikenali sebagai Badrus berkata, kecurian itu berlaku buat kali kelima.
“Ikan yang dicuri mencecah sekitar 20 kilogram.
“Saya tidak melaporkan kepada polis, sebaliknya saya memilih untuk menyiarkan rakaman di media sosial agar pelaku berasa malu dan enggan mencuri pada masa depan,” tambah Badrus. – AGENSI