JOHOR BAHRU – Harga petrol RON95 tidak akan dinaikkan walaupun cadangan itu pernah dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet sebelum ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun terdapat gesaan supaya harga bahan bakar itu dinaikkan, namun beliau tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
Menurut Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, sebarang pelarasan subsidi hanya akan dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan harga pasaran.
“Saya sedang fikirkan isu subsidi petrol RON95. Ada yang minta harga dinaikkan untuk rakyat. Namun saya tidak setuju.
“Kalau mahu dilakukan, pelarasan harga RON95 perlu diturunkan sedikit demi sedikit mengikut masa dan harga pasaran,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres Nasional PKR di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini hari ini.
Anwar menjelaskan, subsidi petrol sepatutnya disasarkan kepada kumpulan yang benar-benar memerlukan, bukannya dinikmati warga asing dan golongan maha kaya.
“Orang asing nikmati RM3 hingga RM4 bilion subsidi. Mungkin selepas ini, nak beli petrol RON95 kena tunjuk kad pengenalan,” kata beliau. – KOSMO! ONLINE