MONACO – Pemandu Ferrari, Charles Leclerc mengakui peluangnya untuk mengulangi kejayaan manis tahun lalu di Grand Prix (GP) Monaco agak sukar memandangkan jentera SF-25 miliknya masih lemah di selekoh perlahan.
Musim lalu, Leclerc mencatat sejarah peribadi apabila menamatkan penantian panjang dengan meraih kemenangan pertama di litar tersebut, namun cabaran tahun ini dilihat lebih getir susulan Ferrari masih bergelut dengan prestasi semasa.
Leclerc bagaimanapun tidak menolak kemungkinan akan berlaku kejutan, selain berharap Ferrari mampu memanfaatkan karakter unik Monaco yang sering memberi ruang kepada keputusan luar jangka.
“Monaco ni sangat unik. Kadangkala bila langsung tiada harapan, kita boleh berikan lebih, macam 2021, kami tak kompetitif sepanjang musim, tapi berjaya rebut petak utama di sini. Jadi, saya masih berharap boleh ulang sejarah macam tahun lepas,” ujarnya.
Berdasarkan reka bentuk Lita Monaco, Ferrari dijangka memberi tumpuan penuh kepada keseimbangan jentera di selekoh perlawanan untuk memastikan mereka mampu lebih stabil.
Ferrari dijadual membawa naik taraf baharu ke GP Barcelona bulan depan, namun fokus utama ketika ini adalah untuk memulihkan prestasi semasa di Monaco terutama bersaing pada sesi kelayakan yang menjadi penentu kejayaan pada perlumbaan sebenar. – AGENSI