MANCHESTER – Pemain muda Manchester United, Alejandro Garnacho sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila mempersoalkan keputusan pengurus, Ruben Amorim pada aksi final Liga Europa kelmarin.
Pada perlawanan itu, Amorim membuat kejutan apabila merombak kesebelasan utama dengan meletakkan Garnacho di bangku simpanan untuk memberi ruang buat Mason Mount.
Pemain berusia 21 tahun itu mengakui kecewa apabila hanya beraksi selama 20 minit pada penghujung babak kedua sekali gus gagal memberi impak buat The Red Devils yang tewas kepada Tottenham Hotspur dengan keputusan 0-1.
“Saya telah bermain daripada awal kejohanan hingga ke peringkat separuh akhir, tetapi pada aksi final, saya tidak tahu kenapa saya bermain selama 20 minit.
“Keputusan ini sudah tentu akan membuatkan saya fikir tentang masa depan bersama pasukan, tetapi buat masa ini, saya mahu bercuti dahulu sebelum meneliti segala tawaran yang ada,” katanya.
Ini bukanlah kali pertama Garnacho ‘buat hal’ kerana pemain kelahiran Argentina itu sememangnya terkenal dengan masalah disiplin bersama pasukan.
Sebelum ini, Garnacho dan Marcus Rashford pernah direhatkan oleh Amorim kerana tidak memberikan yang terbaik pada sesi latihan selain terus keluar ke bilik persalinan ketika ditukarkan pada perlawanan bertemu Ipswich Town, awal tahun ini. – AGENSI