LANGKAWI – Cuaca hujan lebat dengan angin kencang tidak mematahkan semangat orang ramai untuk melihat pertunjukan udara sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa 2025 (LIMA’25).
Tinjauan di kawasan landasan kapal terbang di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri mendapati kebanyakan pengunjung memakai baju hujan dan membawa payung bagi melindungi diri masing-masing.
Seorang pengunjung dari Pulau Pinang, Tuti Harnida Harun, 38, berkata, dia masuk ke kawasan landasan pada kira-kira pukul 10.30 pagi tadi selepas hujan lebat mula reda.
“Setiap kali LIMA, saya akan datang bersama keluarga untuk melihat persembahan aerobatik, jadi walaupun hujan saya tetap akan masuk ke landasan untuk melihat persembahan.
“Kali ini saya bawa sekali kerusi lipat dan payung besar jadi semasa menunggu anak-anak boleh duduk dan tidak penat,” katanya di sini hari ini.
Seorang lagi pengunjung dari Selangor, Muhammad Iqmal Azwan, 28, berkata, ini kali pertama dia datang ke LIMA.
“Sebab kali pertama, jadi rugilah kalau saya tak masuk ke landasan untuk lihat pameran statik yang ada. Hujan tak apa, boleh pakai payung dan pengalaman melihat pertunjukan aerobatik ini adalah lebih mahal daripada baju basah disebabkan hujan,” katanya.
Bagi seorang lagi pengunjung dari Terengganu, Haziq Ali, 34, dia pada mulanya berasa kecewa apabila melihat hujan lebat sejurus sebelum pertunjukan udara diadakan pada hari ini.
“Tetapi saya tetap masuk ke landasan dengan berbaju hujan dan bila hujan berkurangan, bunyi pesawat menyebabkan saya rasa kembali teruja dan terlupa mengenai hujan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE