BAKAL dibenci dan dimaki berbakul-bakul. Barangkali itu yang akan dihadapi Niezam Zaidi ketika ini apabila wataknya sebagai lelaki panas baran menerusi drama Dia Bukan Syurga kian tular dalam media sosial.
Memegang watak sebagai Tajul, Niezam dilihat berjaya membuatkan penonton mula membencinya apabila melakukan penderaan secara mental terhadap pasangannya, Nuha lakonan Ezzanie Jasny sejak episod pertama drama itu bersiaran pada 19 Mei lalu.
Bagi penonton, suami panas baran merupakan isu yang sering berlaku dalam masyarakat dan masih berleluasa sehingga hari ini.
“Eh! Bencinya tengok watak Niezam. Mendidih darah tapi menjadi betul lakonan dia.
“Kasihan Nuha, sebenarnya ramai wanita senasib dia di luar sana cuma takut untuk bersuara.
“Aku dapat rasakan bacaan darah tinggi aku semakin naik. Risau betul tengok drama macam ini sebab akan ketagih,” komen netizen,
Selain Niezam dan Ezzanie, drama arahan Rashid Sibir yang disiarkan menerusi slot Megadrama, Astro Ria setiap hari Isnin hingga Khamis pada pukul 10 malam itu turut dibintangi Nazim Othman dan Dayana Roza.