KUALA LUMPUR – Filipina memberi sokongan kepada kemasukan Timor Leste sebagai anggota penuh ASEAN, sekali gus mempamerkan komitmen negara itu terhadap pengukuhan hubungan blok serantau.
Setiausaha Rendah Hal Ehwal Dua Hala dan ASEAN, Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina, Ma Theressa P. Lazaro berkata, meskipun kemasukan Timor Leste masih dibincangkan, namun usaha ke arah itu menunjukkan reaksi positif.
“Saya tidak boleh membuat spekulasi, berdasarkan perbincangan yang kita ada, saya rasa ia positif dan juga merupakan hasrat ASEAN terutamanya pengerusi, Malaysia.
“Timor Leste boleh menjadi ahli tidak lama lagi. Tetapi ia sangat spekulatif. Masih terdapat beberapa isu dan perbincangan yang perlu dijalankan,” katanya ketika ditemui di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 hari ini.
Ketika ini, Filipina giat menjalankan persiapan rapi bagi mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN tahun hadapan, sebagai langkah meneruskan legasi kepimpinan dibina Malaysia.
Kata beliau, negaranya akan meneruskan momentum dan membina pencapaian yang telah dicapai Malaysia sepanjang tempoh pengerusian ini.
“Terdapat banyak cabaran yang perlu dihadapi dan kami mengambil peranan penting.
“Menjadi pengerusi ASEAN tahun hadapan adalah agenda penting Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. Kami mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan kepengerusian setakat ini,” ujarnya.
Bagaimanapun, menurut Lazaro, masih terlalu awal untuk mengumumkan tema dan keutamaan yang bakal dibawa Filipina kelak.
“Masih terlalu awal untuk bercakap tentang tema dan keutamaan kami. Kami ingin Malaysia selesaikan dahulu persidangan ini sebelum kami mengambil alih,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE