MELAKA – Seorang wanita dihukum penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menggugur kandungan berusia lima bulan minggu lalu.
Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Norazzeti Azima Awang Long, 21, membuat pengakuan tersebut sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan pertuduhan, gadis itu didakwa mengambil ubat dengan niat untuk menghalang kelahiran bayi pada pukul 10 malam, 12 Mei lalu di daerah Melaka Tengah.
Mengikut fakta kes, wanita itu pergi ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami bengkak susu dan mendakwa keguguran.
Bagaimanapun, tertuduh yang masih bujang itu mengaku mengambil ubat untuk menggugurkan kandungan yang dibeli di TikTok pada 12 Mei lalu dan menyerahkan janin kepada rakannya untuk ditanam. – KOSMO! ONLINE