MELAKA – Dua individu maut selepas kenderaan dinaiki mereka merempuh sebuah lori di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin, berhampiran Serkam (AMJ), di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi itu, mangsa, Nguyen Thanh Loan, 46, warga Vietnam dan Abdullah Shajed, 45, dari Bangladesh disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I, Mohd. Shahril Zauni berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.53 pagi dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil serta BBP Merlimau dikejarkan ke lokasi.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi di lokasi, kemalangan membabitkan sebuah lori jenis Nissan UD dan kereta Toyota telah mengakibatkan dua mangsa tersepit di bawah lori berkenaan.
“Pasukan penyelamat bertindak menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa dan kedua-duanya disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya kepada pemberita, hari ini. – KOSMO! ONLINE