PETALING JAYA – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung penganjuran perlumbaan basikal lajak yang dikatakan akan diadakan di Damansara Damai, esok.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, video berkenaan dimuat naik di aplikasi TikTok dan memaparkan sekumpulan remaja melakukan aksi menunggang basikal lajak di jalan raya bersama maklumat berkaitan penganjuran perlumbaan terbabit.
“Pada pukul 4.30 petang semalam, Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya telah terkesan satu video tular di media sosial TikTok yang berdurasi 29 saat mempromosikan iklan penganjuran perlumbaan basikal lajak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, satu laporan polis telah dibuat dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 81 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menganjurkan pertandingan melibatkan kenderaan tanpa kebenaran.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai penganjuran acara itu diminta menyalurkannya kepada balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222,” ujarnya.
Shahrulnizam turut memberi peringatan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang melanggar undang-undang dan menggesa semua pihak mematuhi peraturan bagi mengelak kejadian tidak diingini. – KOSMO! ONLINE