fbpx

Pengurus syarikat, dua pekerja dituduh seleweng 21 tan minyak masak subsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua warga Indonesia ketika dibawa untuk proses pertuduhan seleweng minyak masak subsidi di Mahkamah Sesyen Klang, hari ini.

KLANG – Seorang pengurus syarikat pengangkutan bersama dua pekerjanya didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan penyelewengan minyak masak bersubsidi berjumlah 21 tan pada Isnin lalu.

Tertuduh, Kamar Hashim, 50, serta dua lelaki warga Indonesia iaitu Radja Nugraha, 22 dan Muhammad Taufik, 32, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Sharifah Hascindie Syed Omar.

Mengikut pertuduhan, Kamar didakwa bersama dua warga Indonesia itu telah ada dalam kawalan barangan kawalan iaitu minyak masak sebanyak 21,012 kilogram dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan -Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak masak secara borong tanpa lesen.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah premis di Jalan Kapas di sini, kira-kira pukul 5 petang pada 19 Mei lalu.

Radja dan Muhammad Taufik dituduh melakukan kesalahan sama pada waktu serta lokasi sama.

Pertuduhan terhadap ketiga-tiga mereka dibuat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah seksyen 22(1) akta yang sama dan dibaca bersama seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Muhamad Saiful Saaidin manakala semua tertuduh diwakili Peguam S.K Pari.

Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 kepada Kamar manakala dua warga Indonesia tidak diberikan jaminan dan ditahan sementara di Penjara Sungai Buloh.

Sebutan semula kes pada 29 Julai depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI