BALIK PULAU – Pasangan suami isteri yang disyaki mendera anak perempuan berusia 12 tahun di rumah mereka di sebuah kondominium di Sungai Ara, di sini telah direman selama empat hari.
Suspek lelaki berusia 47 tahun bekerja sebagai penyelia kilang, manakala isterinya berumur 49 tahun merupakan pengurus program di sebuah kilang elektronik di Bayan Lepas.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, penahanan reman terhadap pasangan terbabit masing-masing bermula kelmarin dan semalam.
“Tempoh reman ke atas pasangan suami isteri itu akan berakhir pada esok dan Ahad ini. Kita menunggu arahan pertuduhan dari Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP).
“Hasil keputusan air kencing terhadap kedua-duanya juga didapati negatif sebarang pengambilan dadah,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan keadaan mangsa dilaporkan stabil di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan sepasang suami isteri ditahan polis selepas susulan laporan yang dibuat oleh guru besar sekolah anak mereka, pada Selasa lalu.
Menurut Sazalee, laporan polis diterima pihaknya pada pukul 11.57 pagi selepas guru kaunseling sekolah mengesan kesan lebam dan luka pada bahagian belakang badan murid terbabit.
Hasil siasatan mendapati mangsa yang merupakan murid tahun enam dan anak kedua kepada pasangan tersebut telah dirotan pada bahagian belakang badan pada Ahad lalu.
Mangsa juga memaklumkan kepada pihak sekolah bahawa dia sering dipukul dan pernah dikurung dalam sangkar anjing oleh ibu bapanya. – KOSMO! ONLINE