JOHOR BAHRU – Timbalan Presiden PKR yang baharu, Nurul Izzah Anwar mahu menumpukan fokus kepada tiga perkara utama selepas diumumkan sebagai pemenang bagi jawatan berkenaan.
Bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, fokus itu termasuklah kepada pengukuhan kerjasama dan hubungan antara ahli di dalam parti.
“Kemudian, fokus adalah untuk melakukan reformasi dalaman bagi menumpukan sepenuh kekuatan jentera untuk bergerak menuju Pilihan Raya Umum (PRU) seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tamat Majlis Perasmian Kongres Nasional PKR yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.
Tambah pemimpin yang popular dengan panggilan ‘Puteri Reformasi’ itu lagi, dia bakal mengerjakan haji selepas tamatnya kongres kali ini.
“Saya mohon doa, saya dan suami akan berangkat menunaikan ibadah haji di Mekah. Doakan kami nanti,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE