JOHOR BAHRU – Ahli PKR khususnya Angkatan Muda Keadilan (AMK) perlu sedar bahawa parti kini berdepan dengan cabaran bagi menentukan hala tuju baharu sebagai parti yang memerintah negara ketika ini.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Adam Adli Abdul Halim berkata, sebagai satu komponen penting dalam kerajaan, setiap perkara yang dilaksanakan parti akan memberi kesan kepada masyarakat secara amnya.
Justeru, katanya, semua ahli PKR perlu membulatkan tekad dan meluruskan niat dalam mencapai apa sahaja keputusan terbaik pada Kongres Nasional 2025 serta pemilihan parti kali ini.
“Kita boleh berkongres dan angkat semula setiap isu dan agenda dalaman, namun kita juga tahu, setiap tutur kata, perkataan, isu dan agenda yang kita bentangkan termasuk ideologi yang diketengahkan, jadi satu perkara yang beri kesan pada masyarakat.
“Masyarakat mahu tahu apa jenis anak muda yang parti sedang siapkan untuk pimpin negara, nak tahu kedudukan wanita dalam negara yang parti kita angkat, apa yang parti ini perjuangkan atau kita dah alpa lepas mendapat kuasa,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bersama Kongres AMK dan Wanita PKR di Hotel Berjaya Waterfront, di sini malam tadi.
Katanya, beliau berharap kongres kali ini bukan sekadar satu formaliti sebaliknya berkisar tentang perjuangan parti, tentang kebersamaan dan solidariti dalam merencanakan perjalanan yang akan ditempuhi. – KOSMO! ONLINE