KUALA LUMPUR – Syarikat penerbitan Media Mulia Sdn. Bhd. yang menerbitkan akhbar Kosmo!, Utusan Malaysia dan The Malaysian Reserve, membuat kemunculan sulungnya di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Pengurus Pengedaran Media Mulia, Mohammad Fahmi Asraf Khan berkata, sebanyak 200 naskhah akhbar Kosmo! dan 200 Utusan Malaysia diedarkan secara percuma setiap hari sepanjang tempoh PBAKL dari 23 Mei hingga 1 Jun ini.
“Antara tarikan utama di reruai kami ialah promosi langganan akhbar Kosmo! dan Utusan Malaysia pada harga RM399 sahaja berbanding harga asal RM722 dengan diskaun hampir 45 peratus,” katanya.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang melanggan platform kandungan kartun digital keluaran Media Mulia, MMtoon.
“Pelanggan yang melanggan akan menerima potret karikatur secara percuma yang akan dilukis sendiri oleh pelukis profesional di reruai ini,” ujarnya.
Bukan itu sahaja, Media Mulia menawarkan dua buah buku popular di reruai tersebut iaitu Mahligai Air Mata dan Bila Lampu Dipadam.
“Kami juga memperkenalkan buku baharu berjudul Profits From Visuals, buku pertama berunsur akademik yang dijangka memasuki pasaran bulan depan,” katanya.
Selain itu, reruai ini menampilkan pameran bahan arkib dan sejarah termasuk naskhah asal penerbitan dari era 1970-an dan 1980-an yang boleh dilihat serta disentuh oleh pengunjung.
“Kami turut menyediakan aktiviti teka silang kata dengan hadiah menarik untuk pengunjung yang mengambil bahagian,” ujar Fahmi.
Fahmi menambah, penglibatan Media Mulia dalam PBAKL adalah bagi memperkenalkan kekuatan dan kepelbagaian produk syarikat serta membuktikan akhbar-akhbar syarikat ini masih kekal relevan dan aktif dalam industri penerbitan.
“Kami berharap kehadiran kali pertama di PBAKL ini mendapat sambutan baik dan mampu menarik lebih ramai pembaca,” ujarnya.
Dalam pada itu, orang ramai dijemput mengunjungi reruai Media Mulia bernombor 10-09 yang terletak di Aras 5, WTCKL bagi menikmati pelbagai promosi serta aktiviti menarik yang disediakan. – KOSMO! ONLINE