KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik melengkapkan hari cemerlang kem badminton Malaysia selepas mengesahkan kemaraan ke separuh akhir pada kejohanan Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Pada aksi suku akhir sebentar tadi, bekas juara dunia itu membuatkan Axiata Arena bergegar selepas membenam beregu Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard menerusi kemenangan straight set 21-10, 21-19.
Lebih manis, beregu No.3 dunia itu semakin hampir untuk melangkah ke final ketiga berturut-turut musim ini selepas memenangi Kejohanan Badminton Asia (BAC) dan Terbuka Thailand sebelum ini.
Aaron berkata, dia dan Wooi Yik menampilkan aksi cukup baik pada perlawanan itu, namun prestasi mereka agak menurun di set kedua sebelum kembali memperkemaskan permainan dan melengkapkan kemenangan.
“Saya rasa perlawanan hari ini tidak banyak komen yang nak dibuat. Kita memang hanya berikan fokus terhadap konsistensi kerana ada sedikit ragu di set kedua tetapi kita dapat kembali tenang dan bangkit.
“Selepas ini, mungkin kami perlu lebih fokus dan hanya nikmati setiap perlawanan,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Menjelang separuh akhir esok, Aaron-Wooi Yik dijadualkan bertemu satu lagi beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, sekali gus menjadi aksi ulangan penentuan pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024.
Atas kertas, pasangan negara memiliki kelebihan ke atas gandingan No.1 dunia itu selepas memiliki rekod lapan kemenangan ke atas Astrup-Rasmussen dalam 12 pertemuan sebelum ini.
“Setiap hari merupakan hari yang baharu dan berbeza. Esok kami hanya akan menampilkan aksi terbaik dan anda semua pun tahu setiap lawan akan memberikan cabaran sukar,” ujar Wooi Yik. – KOSMO! ONLINE