BINTULU – Seorang lelaki ditemui terperangkap di dalam lori yang dipandunya yang terbakar selepas terbabas di Jalan Kidurong, di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, kejadian dilaporkan kira-kira pukul 9.55 pagi tadi dan setibanya pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kidurong di lokasi mendapati, mangsa yang berusia 59 tahun sudah rentung.
“Lori muatan 30 tan yang membawa sawit itu terbakar 100 peratus di bahagian hadapan akibat kemalangan kendiri dan terdapat seorang mangsa rentung di bahagian pemandu,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, pasukan bomba bertindak memadam api dan seterusnya mengeluarkan mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE