fbpx

K2

Hukum membuat ‘food review’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAKANAN yang hendak dibuat review hendaklah halal 100 peratus tanpa sebarang keraguan. – Gambar hiasan

ASSALAMUALAIKUM, saya ingin bertanya, apakah hukum seseorang itu membuat video food review di media sosial yang kita tahu akan membuatkan orang terliur, sedangkan ada dalam kalangan kita tidak berkemampuan untuk membelinya?

JAWAPAN: SECARA asasnya, tujuan membuat video food review di media sosial adalah untuk mempromosikan makanan dan minuman yang ditawarkan di sesebuah kedai. Dengan berkembangnya teknologi dan kemudahan akses internet pada masa kini, ia telah mewujudkan pelbagai cara pemasaran yang kreatif.

Namun jika diperhatikan, prinsip asas pengiklanan digital yang ada sekarang tidak jauh beza dengan sebelum ini iaitu untuk menarik minat orang ramai merasainya.

Oleh itu, hukumnya adalah harus selagimana tidak mempunyai unsur-unsur haram seperti penipuan.

Allah SWT berfirman: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah.” (Surah al-Baqarah: 188)

Ini juga bergantung kepada niat seseorang yang melakukan video food review tersebut, jika niatnya baik, maka baiklah perbuatan tersebut.

Jika tidak, maka buruk dan haram perbuatan tersebut.

Ia berdasarkan kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa hukum suatu perkara itu bergantung kepada niat.

Namun, sekiranya review tersebut dilakukan bersesuaian dan sama seperti kualiti ditawarkan oleh bahan jualan tersebut dengan tujuan mempromosi, maka hukumnya adalah harus dan halal mengambil upah daripadanya.

Ini berdasarkan kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa: “Asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah ada dalil yang menunjukkan kepada keharaman terhadap perkara tersebut.” (Rujuk al-Asybah wa al-Nazhair, 1:60)

Di samping itu, diingatkan juga bahawa Allah SWT telah menganjurkan manusia untuk bersederhana dalam makan dan minum serta jangan berlebih-lebihan.

Firman Allah SWT di dalam al-Quran: “Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau. Sesungguhnya Allah SWT tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.” (Surah al-A’raf: 31)

Imam Ibn Kathir menukilkan kalam para sahabat Ranhum berkaitan ayat ini yang mengatakan bahawa Allah SWT menghalalkan makanan, minuman dan pakaian selagi mana tidak membawa kepada berlebih-lebihan dan untuk bermegah-megah. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 6:288)

Jika diperhatikan, berlebih-lebihan dalam makanan juga termasuk perbuatan memakan semua yang diinginkan oleh hati dengan melebihi daripada apa yang diperlukan oleh badan.

Ini seperti mana di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Saidina Anas Ibn Malik RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya termasuk dalam perkara yang berlebih-lebihan ialah kamu memakan setiap makanan yang kamu teringinkan.” (Hadis riwayat Ibn Hibban dalam al-Majruhin, (2:389)

Di dalam satu hadis yang lain pula, Rasulullah SAW menyatakan bahawa perut merupakan tempat yang paling buruk untuk diisi sehingga penuh (kenyang).

Sebaliknya, Rasulullah SAW menganjurkan supaya makan sekadar yang perlu sahaja untuk menguatkan tulang sulbi.

Jika seseorang itu ingin makan lebih daripada itu, maka hendaklah dia membahagikan satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga lagi untuk dia bernafas.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada tempat yang diisi oleh manusia yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi manusia itu beberapa makanan yang sekadar untuk menegakkan tulang sulbinya, kecuali jika dia tidak dapat mengelakkannya, maka hendaklah dia membahagikan satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga lagi untuk nafasnya. (Hadis riwayat al-Tirmidzi (2380) dan al-Nasaie (6769)

Kesimpulannya, berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa hukum membuat video food review dan paid review adalah harus selagi mana tidak mempunyai unsur-unsur haram seperti penipuan.

Sebagai contohnya, bay’ al-najasy iaitu perbuatan memuji sesuatu barang jualan secara tidak sepatutnya dan tidak sesuai dengan kualiti ditawarkan supaya orang ramai terpengaruh untuk membelinya dengan harga lebih tinggi.

Kami juga ingin tegaskan di sini, jika seseorang ingin melakukan food review sebaik-baiknya perlulah mendapat keizinan daripada tuan asalnya.

Begitu juga, penilaian yang dibuat mestilah bersifat jujur dan amanah, janganlah dikatakan sedap pada makanan tidak sedap dan sebaliknya.

Di samping itu, makanan yang dipilih hendaklah halal 100 peratus tanpa sebarang was-was dan ragu-ragu agar umat Islam terselamat daripada makanan haram.

Pemudah cara seperti ini amat penting di zaman kini kerana teknologi yang begitu canggih.

Kami berpandangan perbuatan food review adalah baik jika sekiranya memenuhi syarat dan kriteria yang telah kami tetapkan.

Di kesempatan ini, kami ingin menasihati supaya bersederhana dalam makan dan minum serta tidak makan setiap apa yang diinginkan oleh hati kerana ia termasuk dalam perbuatan berlebih-lebihan.

Ini kerana kekenyangan akan membawa perkara negatif.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI