MONACO – Juara dunia, Max Verstappen melontarkan kritikan terbuka terhadap saiz dan berat jentera Formula Satu (F1) ketika ini yang menurutnya langsung tidak menghidupkan aksi di litar jalanan seperti Monaco.
Meskipun baru sahaja meraih kemenangan bergaya di Grand Prix (GP) Emilia Romagna hujung minggu lalu, Verstappen tidak menikmati pengalaman memandu yang menyeronokkan di Monaco yang dianggap sebagai salah satu litar paling ikonik dalam sejarah perlumbaan F1.
“Saya rasa jentera yang kita gunakan sekarang ini tidak begitu sesuai untuk litar jalanan. Ia terlalu besar, terlalu kaku, terlalu berat.
“Jadi, saya rasa ia tidak benar-benar ‘hidup’ seperti jentera sekitar tahun 2016. Memang waktu itu masa pusingan lebih perlahan, tapi sekurang-kurangnya anda masih rasa kereta ‘hidup’ di litar jenis ini,” katanya.
Menurut Verstappen, jentera sebelum ini membolehkan pelumba mengambil selekoh lebih agresif, termasuk naik ke atas ‘curb’ tanpa terlalu banyak batasan.
“Sekarang semuanya terasa hambar. Tapi di trek seperti Imola, ia lebih menyeronokkan sebab banyak selekoh laju dan hadnya adalah kerikil atau rumput. Itu menjadikan pemanduan lebih mencabar dan mengujakan,” jelasnya.
Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) bakal memperkenalkan perubahan besar dalam peraturan teknikal menjelang musim 2026, termasuk menjadikan jentera lebih kecil dan ringan, bagi menangani isu yang dibangkitkan pelumba seperti Verstappen. – AGENSI